Friday, April 18, 2008

CEUPACS LAGI


Cuepacs Batal Hasrat Boikot Hari Pekerja

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini membatalkan hasratnya untuk memboikot sambutan Hari Pekerja pada 3 dan 29 Mei ini, kata Presidennya Omar Osman.

Beliau berkata ini kerana lima tuntutan kesatuan itu telah diterima oleh kerajaan dalam pertemuan mereka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam.

"Mesyuarat khas ini diadakan untuk menerangkan kepada ahli kongres mengenai tuntutan yang diterima dan ditolak oleh kerajaan semalam dan kita juga membuat keputusan untuk tidak memboikot sambutan Hari Pekerja bulan depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat khas di pejabat Cuepacs di sini.

Lima tuntutan yang dipersetujui kerajaan adalah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan dari 56 tahun kepada 60 tahun, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.

Satu lagi tuntutan iaitu pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagaimanapun ditolak kerajaan kerana keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang.

"Lima perkara ini telah lama kita perjuangkan kira-kira lima hingga 12 tahun yang lalu manakala honorarium baru saja dituntut bagi menggantikan pemberian bonus setelah kakitangan awam menerima kenaikan gaji tahun lepas," katanya.

Omar berkata anggota kongres akan sama-sama menyokong dan menghadiri sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei dan 29 Mei ini yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Cuepacs juga akan mengadakan Hari Pekerja pada 1 Mei ini di Johor Bahru," katanya.

Pada 2 April lepas, Cuepacs mengumumkan akan memulaukan sambutan Hari Pekerja jika kerajaan gagal memenuhi permintaannya.

-- BERNAMA

No comments: