Saturday, April 19, 2008

MISTERI DI LEBUHRAYA

Sekadar berkongsi pengalaman sesama pembaca. Mungkin sekadar pembacaan dan ingatan kepada rakan-rakan yang suka memulakan perjalanan lewat malam di lebuhraya. Namun begitu , saya bukanlah penulis novel yang hebat, dengan bahasa yang gramatis dan menarik.Penulisan ini adalah pengalaman sebenar yang saya alami bersama isteri dan mungkin pernah berlaku kepada rakan-rakan yang lain.

Kisah ini berlaku pada tahun 1997. Ketika itu, kami menetap dan bekerja di Pahang. Setiapkali cuti persekolahan seringkali pulang ke Kedah menziarahi kedua ibubapa. Memiliki anak-anak yang masih kecil serta jarak perjalanan yang agak jauh menyebabkan aku dan isteriku memilih untuk bertolak pulang ke Kedah pada waktu malam.

Keselesaan anak-anak dan tidak meragam semasa berada dalam kenderaan. Perjalanan yang sejuk pada waktu malam serta kereta baru dengan andaian tidak mungkin rosak. Maka dengan alasan ini , kami seringkali memulakan perjalanan pada waktu malam. Pelbagai cerita misteri yang pernah kami baca dan dengar tentang perjalanan di lebuh raya. Bagiku bukan tak percaya tetapi mungkin benar terjadi kerana sikap dan niat hati manusia sendiri. Sepastinya janganlah “mulut celupar” dan “ beranggapan kitalah yang paling hebat” kerana kita bukanlah satu-satunya makhluk Allah SWT di muka bumi ini.

Sekali peristiwa , pada suatu malam (04hb Mei 1997), aku memulakan perjalanan dari Kedah untuk pulang ke Pahang setelah menghabiskan cuti selama beberapa hari di rumah orang tua. Tepat jam 11.15 malam , kami pun bertolak pulang ke Pahang. Masuk pintu Tol Utara ( Alor Setar) dan bercadang untuk keluar di pintu Tol Rawang jam 5 pagi. Kelajuan kenderaanku mengikut had laju lebuhraya. Berhenti rehat seketika di R& R Juru pada jam 12:30 malam untuk minum secawan kopi dan meneruskan perjalanan. Kebetulan pada malam itu kenderaan tidak begitu sibuk seperti biasa , masih dalam musim percutian pertengahan penggal.

Seterusnya singgah sebentar di hentian R&R Sungai Perak pada jam 1:50 pagi untuk tukar lampin anak dan minum secawan kopi, menghilangkan mengantuk. Setelah selesai dan rasa selesa untuk memulakan perjalanan , maka kami pun meneruskan perjalanan. Selepas beberapa minit bertolak dari hentian tersebut , aku dan isteri mulai perasan , terdapat sebuah kereta mengekori kami dengan kelajuan biasa. Sambil kami berbual-bual dan memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan kepada kereta yang mengekori itu memintas kenderaan kami. Anehnya , kenderaan itu masih mengekori kereta kami.
“Mungkin nak tumpang berani agaknya”, kata isteriku. Malam yang gelap itu , aku Cuma melihat daripada cermin sisi keretaku lampunya yang bulat bersinar terang. “Porsche, barangkali…” kataku kepada isteri. Masih mengekori dan aku beri isyarat memotong namun masih mengekoriku agak rapat di belakang. “ Takkan Porsche tak potong kot! ….Biar kita ikut dia pula…“ kata isteriku. “ Rasa-rasanya macam kereta wolkswagen…” kataku kepada isteri. Selepas aku berkata demikian , tiba-tiba lampu kereta yang mengekori di belakang kenderaan kami sudah tidak kelihatan seolah-olah terpadam. “ Ke mana pula kereta tadi…?” tanyaku pada isteri. “ Mungkin dah keluar simpang Tol…”, andaian isteriku. “ Manalah ada tol lagi , dah nak sampai Terowong Menora..” balasku. “ Harap-harap kereta tadi ,tak rosak dan dapat meneruskan perjalanan seperti kita…..Insya Allah” kata-kata ikhlas isteriku. Jam menunjukkan hampir 2.25 pagi.
Setelah habis kata-kata isteriku maka aku pun memasang lampu tinggi dan menghala kereta mendaki bukit menuju ke arah terowong untuk pulang ke Pahang.

”Masya’ Allah…perempuan mana pula, tengah malam ni duduk bersandar pada penghadang jalan …?” soalku pada isteri. Pucat lesi wajah isteriku dan tangannya segera memegang tangan kiriku. “Kalau “you” pegang tangan “I” , macam mana I nak tukar gear kereta kita…” tambahku lagi. Anak-anak pula sedang tidur nyenyak. Aku cuba menenangkan isteri dan berpesan untuk tunduk melihat ke lantai kereta. “Bacalah ayat-ayat suci yang you ingat…dan ingat Allah sentiasa..”kataku. Aku memperlahankan kereta sambil membelok kenderaan ke lorong kedua…. Teringat pesan “orang-orang tua” dalam waktu kecemasan begini, ingatlah pada “Allah SWT !...Dia lah yang akan membantu kita dan janganlah berharap ada manusia akan menolong kita dan bacalah ayat-ayat Al Quran dengan tenang dan ikhlas kerana Allah. Allhamdulilah , aku dapat mengawal situasi cemas dan sempat memandang tepat ke arahnya yang sedang bersandar pada penghadang jalan seolah-olah sedang menunggu kenderaan kami mendekatinya. Tertulis kilometer 315.3 di sebelah penghadang jalan itu. Bertudung dan berbaju kurung , sedondon: warna kuning air.
Pakaian melambai-lambai di tiup angin pagi. Bentuk badan yang cantik dan cukup ayu . Namun wajahnya kosong tiada rupa…...

Alhamdullilah , kami sekeluarga selamat sampai di Pahang pada jam 6 pagi . Pengajaran untuk kami suami-isteri supaya merancang perjalanan dengan sebaik-baiknya. Perjalanan lewat malam ada kalanya memudahkan kita mengawal anak-anak tetapi biarlah balik siang hari walaupun cuacanya panas sedikit…..(pandangan sahaja).

26. "Tuhanlah sahaja Yang mengetahui Segala Yang ghaib, maka ia tidak memberitahu perkara ghaib Yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -
27. "Melainkan kepada mana-mana Rasul Yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib Yang berkaitan Dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan Yang demikian) maka ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat Yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu Selamat sampai kepada Yang berkenaan).
28. "(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya ia mengetahui Bahawa Sesungguhnya - (dengan jagaan mereka) - Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal ia memang mengetahui Dengan meliputi Segala keadaan Yang ada pada mereka, serta ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu".

No comments: